Memetik kenyataan Mursyidul Am PAS selaku Menteri Besar Kelantan, Dato' Nik Abdul Aziz Nik Mat, sesungguhnya, tidak ada sesiapa yang boleh menerima perbuatan seorang manusia boleh membunuh orang lain kerana nyawa seorang manusia itu tidak dimiliki oleh sesiapa pun hatta dirinya sendiri. Justeru, Islam melarang membunuh diri kerana nyawa bukan milik manusia. Perbuatan sekejam ini berpunca daripada tidak wujudnya rasa malu dan aib di hati pembunuh. Sedangkan perasaan malu dan aib inilah yang merupakan jentera keselamatan yang boleh mengawal diri manusia daripada melakukan perkara-perkara yang mendatangkan mudharat samada kepada diri atau orang lain. Rasulullah SAW pernah bersabda yang bermaksud, “Apabila kamu tidak malu, buatlah apa yang kamu kehendaki” – hadis riwayat Imam Bukhari.
Selain itu, Dato' Tuan Guru juga menggesa kepada pihak pimpinan negara untuk sentiasa menghebahkan peringatan agar rakyat bertaqwa dan gerun kepada Allah SWT. Perlu diingatkan sentiasa agar rakyat merasa gerun dengan azab kubur dan siksa api neraka. Tanpa peringatan-peringatan seperti ini, tidak ada penghalang yang boleh mendinding manusia dari melakukan jenayah. Hasilnya, kita mendengar kes-kes pembunuhan kejam berlaku sepanjang masa tanpa mengira bangsa dan agama.
Sayang sekali apabila tugas memperingatkan manusia agar bertaqwa kepada Allah SWT ini hanya diserahkan kepada imam dan lebai sahaja. Seolah-olah persoalan iman dan taqwa ini hanya boleh disebut di mimbar masjid. Inilah benih yang dituai oleh sekular sekian lama dan kini menampakkan hasilnya. Masyarakat diulit dengan demokrasi yang tidak pernah menyebut persoalan iman di dalam sukatan pengajiannya. Apabila iman tidak diperkenalkan, lahirlah generasi kepimpinan yang langsung tidak pernah tertarik untuk mengajak rakyat untuk beriman. Natijahnya, terbentuklah suasana yang kita saksikan pada hari ini.
Jauh berbeza dengan Rasulullah SAW sebagai Perdana Menteri pertama negara Islam Madinah. Baginda mengulang sebut peringatan agar beriman dan bertaqwa kepada Allah SWT di dalam setiap ucapannya kepada rakyat. Iman selaku kembar siam kepada Islam itulah penghalang yang paling teguh daripada melakukan jenayah. Pemimpin negara ini adalah orang Islam, justeru individu yang sangat perlu dicontohi ketika memimpin ialah Rasulullah SAW.
Menurut ulama' tersohor ini, beliau yakin, jika inilah yang dititikberatkan oleh kepimpinan negara, insyaAllah akan berputik rasa gerun dan takut kepada Allah SWT di hati rakyat. Bukan gerun dan takut kepada undang-undang yang dibuat oleh manusia sahaja. Keberkatan dan pencegahan yang datangnya daripada Allah SWT inilah yang akan menjamin kesejahteraan manusia tidak mengira agama apa yang dianuti