Sunday, August 8, 2010

Ramadhan: Bulan Tarbiyyah dan Jihad

Kedatangan bulan Ramadhan pada setiap tahun merupakan detik yang amat dinanti-nantikan oleh seluruh umat Islam. Ramadhan merupakan madrasah tarbiyah buat umat Islam, bulan yang penuh dengan ganjaran hebat dan terbesar sepanjang tahun yang dianugerahkan oleh Allah SWT kepada umat Nabi Muhammad SAW. Sebagai umat Islam, kita wajib mensyukuri pemberian oleh Allah SWT kepada kita dengan merebut segenap ruang dan peluang untuk berbuat pahala. Bukan itu sahaja, bahkan bulan Ramadhan memahatkan seribu satu nostalgia kemenangan umat Islam di yang kini menjadi motivasi buat para pejuang agama Allah yang ingin menegakkan Islam di muka bumi Allah ini.

Firman Allah SWT di dalam surah al-Baqarah ayat 183 yang bermaksud : “Wahai orang-orang yang beriman! Diwajibkan ke atas kamu berpuasa sebagaimana diwajibkan atas orang-orang yang dahulu daripada kamu, mudah-mudahan kamu bertaqwa.”

Ayat di atas merupakan perintah Allah SWT yang meminta seluruh umat Islam untuk berpuasa di bulan Ramadhan supaya di akhirnya, menatijahkan kita supaya bertaqwa kepadaNya. Oleh itu, latihan ataupun tarbiyah di dalam bulan Ramadhan perlu dijalani dengan penuh makna bagi setiap umat Islam terutama mereka yang terlibat secara langsung di dalam gerakan Islam, perlu untuk mereka mendekatkan diri dengan Allah SWT supaya perjalanan untuk membawa mad’u tidak tersasar dari landasan dakwah Islamiyah. Antara amalan yang perlu diperbanyakkan ialah membaca al-Quran, memperbanyakkan solat sunat dan mengerjakan qiamullail di samping menggiatkan gerak kerja kebajikan, kemasyarakatan, penerangan dan dakwah serta menjauhi maksiat di sepanjang Ramadhan.

Puasa adalah sub-pakej program rombakan sosial dan aqidah besar-besaran oleh Nabi SAW semasa Hijrah. Selepas membina Masjid, mempersaudarakan sesama muslim, melebarkan dakwah dan memintas kabilah Quraisy yang melalui sempadan negara Madinah, Rasulullah juga ditugaskan untuk mengekslusifkan umat Muhammad agar berlainan terus dengan kaum Yahudi yang mengakui mengikut syariat Musa serta membezakan juga dengan kaum Nasrani. Antaranya ialah perubahan arah kiblat daripada Masjidil Aqsa kepada Masjidil Haram serta perintah puasa yang membezakan kaedah dan kaifiyat puasa tradisi orang Arab, orang India dan orang Yahudi. Puasa cara Islam mengandungi cara dan adab yang amat berbeza dan memiliki tujuan yang lebih jauh dan hebat. Jangan lupa, ibadat puasa sebulan lamanya ini adalah tamrin pertama yang diperintahkan oleh Allah terhadap Rasulullah dan sahabat yang menguji kekentalan iman agar bersedia untuk berperang ketika berpuasa dan panas terik iaitu peperangan Badar pada 17 Ramadhan.pada tahun kedua Hijrah. Dengan jumlah tentera Islam yang amat sedikit dan kelengkapan yang amat terhad, mereka berperang di medan Badar berbekalkan ketaqwaan kepada Allah SWT yang akhirnya menerima bantuan daripada Allah SWT.

Menurut Tuan Guru Abdul Hadi Awang dalam kitabnya Fiqh Al Harakah Jilid 2, Rasulullah SAW telah mengadakan 3 kempen dan reformasi utama untuk membina kekuasaan Islam. Pertamanya adalah kekuatan Aqidah melalui bimbingan langsung Baginda. Kedua adalah Persediaan Madinah melalui ukhuwah dan sistem hirarki yang bersistem. Ketiga adalah Tanzim dan perencanaan (khittah) yang baik melalui siyar (operasi diplomasi dan pantauan keselamatan wilayah Islam), mua'hadah iaiatu perjanjian demi perjanjian serta tahalluf iaitu kerjasama politik dengan kaum bukan Islam. Perlu diingatkan bahawa 3 proses ini berlangsung selama setahun sahaja di Madinah. Golongan Ansar terus-menerus menerima ajaran dan bimbingan bersama kaum Muhajirin melalui hubungan yang amat erat sehingga Allah menurunkan hukum pusaka agar mereka tidak terlalu wewenang menukar hak faraid kepada sahabat mereka. Kemudian barulah Rasulullah menyusun pula atas arahan Allah iaitu 3 proses yang disebutkan tadi. Cuba kita bayangkan kaum muslimin yang pertama kali membuat syariat puasa selama sebulan, tiba-tiba dikerah pula untuk berperang di telaga Badar. Betapa hebatnya mereka menerima tanggungjawab ibadat dan perang sekaligus di tanah padang pasir yang kering dan panas. Inilah kejayaan tarbiah Rasulullah.

Malah banyak lagi perang jihad yang berlaku di bulan Ramadhan antaranya peperangan Ahzab ( Khandaq) juga berlaku semasa Rasulullah dan sahabat sedang menjalani ibadah puasa. Gerak kerja jihad ini diteruskan pula oleh para sahabat dan solefussoleh seperti kemenangan Salahuddin al-Ayyubi ke atas tentera Salib yang juga berlaku di dalam bulan Ramadhan. Di Bulan Ramadhan juga, Tentera Islam Mesir dan Syiria pernah melakukan serangan terhadap Tentera Israel yang angkuh pada 6 Oktober 1973 di Bukit Golan. Walaupun gencatan senjata dilakaukan oleh PBB untuk mengelak kekalahan teruk di pihak Israel, namun tindakan nekad tentera Arab berkenaan berjaya membalas dendam Perang Enam Hari 1967 sebelumnya. Mujahidin Iraq juga pernah mempertahankan masjid dan komuniti di Fallujah pada pertengahan Ramadhan 2006 dahulu. Mereka dibantai habis-habisan oleh Amerika Syarikat. Jika tanpa bantuan kereta kebal dan pesawat, sudah lama tentera kuffar itu diratah oleh pejuang Islam Iraq.

Di antara pangajaran yang dapat diambil daripada kemenangan umat Islam ini ialah kerana dekatnya mereka dengan Allah SWT. Tentera-tentera yang ditarbiyah oleh Rasulullah SAW dan Salahuddin al-Ayyubi bukan hanya melahirkan manusia yang tunduk dan patuh kepada Allah SWT di dalam ibadah bahkan bijak di sudut taktikal dan kental di sudut fizikal. Semangat Ramadhan amat kental di hati mereka. Ramadhan adalah bulan jihad di mana pada bulan ini, umat Islam diasak bukan sahaja dengan nafsu makan, bahkan juga nafsu sekularisme. Melihat kepada keadaan semasa, bagaimana berjayanya pihak musuh Islam menanam sifat sekularisme di dalam rumah dan diri umat Islam. “Kita melihat bagaimana umat Islam yang berpuasa pada hari ini, berpuasa dalam keadaan tidak menunaikan solat, aurat masih didedah-dedahkan malah tidak segan silu melakukan maksiat. Adakah ini kejayaan setelah 53 tahun kita merdeka? Adakah pihak UMNO dan Barisan Nasional sedar akan produk yang telah mereka hasilkan selama memerintah negara Malaysia? Oleh itu, marilah seluruh masyarakat Islam di Malaysia, kita bersama-sama untuk bermujahadah bukan sahaja menentang nafsu makan, bahkan juga menentang nafsu sekularisme yang meletakkan Islam dalam keadaan asing. Ramadhan bukanlah bulan menahan lapar dan dahaga semata-mata, akan tetapi, jika diamati, Ramadhan merupakan bulan perkembangan politik Islam. Ini kerana, Islam mendapatkan kuasa pemerintahan semasa bulan Ramadhan seperti di dalam peristiwa Fathul Makkah (Pembukaan Kota Makkah) dan pembebasan Palestin oleh Salahuddin al-Ayyubi. Jadikan bulan puasa ini sebagai bulan menilai semula langkah jihad kita agar lebih bersepadu dan berhasil. Bulan ini ada kronologi dan implikasinya kepada orang Islam terdahulu. Dan tidak hairan juga ia menjadi senjata ampuh kepada kita hari ini dalam mendepani tekanan dan cabaran oleh kaum kuffar yang bencikan Islam. Ayuh kita sama-sama menggiatkan gerak kerja dan mengambil keberkatan di dalam bulan Ramadhan terutama kepada seluruh jentera PAS. Yakinlah bahawa Allah bersama kita dalam setiap gerak kerja kita. Bilakah kemenangan akan menyebelahi Islam? Teruskan berpuasa dan memperkuatkan tapak-tapak kita. Syahid atau menang.. itu janji Allah.

Dewan Muslimat Pas Pahang mengucapkan Selamat Berpuasa kepada seluruh umat Islam. Moga bertambah semangat jihad dan moga ibadah kita diterima Allah. Allahu Akbar!

No comments:

Post a Comment